Bak kata pepatah cina 'Asalkan ada kegigihan dan kesungguhan, batang besi pun boleh diasah hingga membentuk sebilah jarum'. Pepatah ini membawa maksud bahawa seseorang yang gigih dan berusaha berterusan pasti akan mencapai kejayaan dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.
Di sebalik pepatah ini, ada sebuah cerita rakyat yang berlaku pada zaman Dinasti Tang di Negara China. Li Bai merupakan seorang ilmuwan/pengarang/ sasterawan yang termahsyur di zaman Dinasti Tang. Sewaktu usianya setahun jagung, dia perlu belajar dan membaca pelbagai buku yang berkaitan dengan ilmu sejarah, kitab2 mantera yang isi kandungannya sungguh dalam bahasanya sehinggakan dia kurang faham akan isi2 pelajarannya itu. Oleh kerana tidak faham, Li Bai mula merasa bosan dan kerap ponteng dan hanya pergi berfoya-foya sahaja.
Pada suatu hari, Li Bai bersiar-siar di pekan sambil matanya ligat memerhatikan sekeliling. Dia terlihat seorang wanita tua sedang mengasah sebatang besi pada permukaan batu pengasah pisau.Perempuan tua itu kelihatan khusyuk sehingga tidak perasan akan kehadiran Li Bai.
Li Bai yang berasa pelik dengan tindakan nenek tua itu pun bertanya, " Nenek, nenek, apakah yang sedang kamu lakukan?"
"Mengasah jarum," kata nenek tua itu. Kepalanya tidak diangkat dan masih tekun mengasah batang besi itu.
"Asah jarum?" Li Bai masih tidak faham. Nenek itu memegang sebatang besi yang sangat tebal, bukannya jarum! Dia terus bertanya," Kalau jarum itu halus nek... ini kelihatan seperti kamu mengasah besi yang sungguh tebal dan besar."
"Ya, nenek hendak mengasah besi ini sehingga ia menjadi sebilah jarum yang halus." Jawab nenek itu lagi sambil mengasah besi itu pada permukaan batu pengasah dengan tekun.
"Apa? Bolehkah besi ini diasah hingga menjadi sebilah jarum?" Li Bai masih berasa musykil melihat tindakan nenek itu.
Nenek mendongakkan kepala untuk melihat Li Bai sambil tersenyum dan mula berkata, " Ya, dengan kemahiran yang mendalam, tambah pula ketekunan dan kegigihan, besi ini pun boleh diasah menjadi jarum!"
Li Bai yang berusia setahun jagung pada waktu itu merupakan seorang budak yang matang, bijak dan mempunyai daya kesedaran yang tinggi. Setelah mendengar kata-kata nenek tua itu, dia segera memahami maksud nenek itu. Hatinya terdetik,"Betul tu, membuat perkara apa pun, asalkan mempunyai kesungguhan dan kegigihan yang berterusan, hari-hari membuat perkara yang sama dan berulang-ulang, semua pekerjaan boleh berjaya. Dalam pembelajaran pun sama, walaupun ada perkara yang tidak difahami, tetapi belajar dan belajar setiap hari dengan bantuan guru dan latihan, suatu hari nanti, pasti aku akan faham apa yang aku baca."
Li Bai berasa menyesal dan bersalah kerana ponteng kelas. Mukanya merah menyala kerana berasa malu dengan tindakannya. Li Bai segera berlari menuju ke rumahnya dan segera masuk ke dalam bilik belajarnya. Buku yang tebal dan yang dianggap susah tadi di belek-belek semula untuk dibaca.
Li Bai merupakan seorang penulis puisi yang terkenal di China apabila dewasa. Sama-samalah kita renungi, adakah setiap pekerjaan yang kita lakukan mempunyai kegigihan dan kesungguhan luar biasa seperti nenek itu? Sudahkah kita berusaha berterusan ke atas satu perkara yang dirasakan susah? Gagal setelah mencuba lebih baik daripada gagal kerana tidak mencuba langsung.
No comments:
Post a Comment